Monday, April 30, 2007

PELAYARAN VI - Akal Anugerah Allah

Masa sungguh singkat dari hari kesehari. Umur semakin pendek dan perjalanan menuju maut bertambah hampir. Sana sini manusia bertambah sibuk mencari serta menambah harta. Ada yang pulang dengan berjuta wang dan ada yang pulang dengan tangan kosong. Kalau bercerita tentang harta dunia, tiada siapa yang tidak akan terasa teruja untuk memilikinya. Kalau bercerita tentang harta akhirat hanya sebilangan kecil sahaja yang benar-benar beristiqomah secara bersungguh-sungguh mengejarnya.
Telah sekian lama ruangan ini tidak di isi yang berkemungkinan tidak di perkenan namun hasrat untuk meneruskannya tetap membara. Sesungguhnya setiap pelayaran itu ada persinggahannya samada sekejap atau lama namun tujuannya tetap sama dan tetap tidak berubah.
Pelayaran kali ini meneruskan lagi pelayaran dengan memanjangkan hal mengenai akal yang di sentuh dalam Pelayaran V dahulu. Topik ini diperluaskan lagi kerana akal adalah sebesar-besar anugerah Allah kepada manusia. Kerana akal inilah maka manusia itu dipandang mulia berbeza dengan makhluk lain di muka bumi ini. Manakala di kalangan manusia juga, mereka yang lebih berakal akan lebih dipandang mulia.
Akal, fikiran atau mata hati nurani yang bertempat di dalam dada, di dalam qalbu manusia ciptaan Allah adalah alat utama kepada manusia. Melalui akal manusia boleh berfikir kecualilah dia kurang akal. Atas sebab manusia boleh berfikirlah maka manusia di suruh oleh Allah melalui kitab Al-Quran yang diturunkan oleh Nya untuk menggunakan akal tersebut untuk berfikir akan kebesaran Allah melalui kejadian-kejadianNya dan ciptaan-ciptaanNya. Lihatlah pada bulan, bintang di langit, matahari, langit yang terbentang luas, tumbuh-tumbuhan dan berbagai-bagai lagi yang dapat dilihat oleh mata kasar.
Lihatlah pada diri kita sendiri, bagaimana boleh jantung berfungsi serta darah yang dibawa ke seluruh anggota melalui saraf-saraf dalam satu sistem yang sungguh menakjubkan?
"Dan Allah menciptakan kamu dari tanah kemudiam dari air mani, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Dan tidak seorang perempuan mengandung dan tidak (pula) melahirkan ( anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahuiNya. Dan tidak sekali-kali di panjangkan umur seseorang yang berumur panjang dan tidak pula dikurangi (dipendekkan umurnya) melainkan sudah di tetapkan dalam Kitab (Loh Mahfuz). Sesungguhnay yang demikain itu bagi Allah adalah mudah." Ayat 11 Surah Faathir